SUATU hari, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa dengan seorang
ulama besar di Madinah bernama Abu Hazim Salamah bin Dinar. Khalifah
bertanya kepadanya: "Wahai Abu Hazim, apa sebab yang membuat kami takut
mati?"
Abu Hazim menjawab, "Sebabnya adalah engkau telah memewahkan rumahmu
di dunia, dan meruntuhkan rumahmu di akhirat. Maka kamu takut berpindah
dari rumah yang mewah ke rumah yang runtuh."
Benar ucapan Abu Hazim ini. Setiap manusia memiliki dua tempat
tinggal. Tempat tinggal yang pertama sedang ia diami di dunia, dan
sifatnya hanya sementara sahaja. Dan rumah satu lagi akan ia duduki
kelak selepas mati dan sifatnya kekal abadi selamanya.
Rasulullah SAW selalu mengingatkan bahawa hidup kita di dunia ini
hanya sementara. Kita ibarat seorang musafir yang tengah rehat di bawah
pokok. Dan ia akan segera meninggalkan tempat itu untuk mencapai
destinasi yang dituju.
Maka sungguh pelik jika ada musafir yang menghiasi tempat
istirehatnya yang sementara itu dengan pelbagai sebab-sebab keselesaan
dan lupa untuk menyimpan sesuatu untuk tempat tinggalnya yang kekal di
destinasi nanti. Tidak terbayang penyesalan yang akan ia rasakan apabila
tiba di destinasi itu namun tidak mendapatkan tempat selesa untuk
didiami atau diduduki.
Amal soleh
Amal soleh adalah bekalan kita menuju Allah SWT. Tempat kita di
akhirat ditentukan dengan berapa banyak amalan ibadah kita di dunia.
Sesiapa yang menginginkan rumah besar di syurga, dihiasi dengan
taman-taman yang indah, dia boleh menempahnya dari sekarang. Iaitu
dengan memperbanyak kerja-kerja yang diniatkan untuk manfaat agama dan
umat Islam.
Kerja-kerja itu sangat beragam. Mulai daripada kerja seremeh
menyingkirkan kotoran di jalan hingga kerja-kerja besar seperti
pentadbiran negara.
Jadi, konsep amal soleh dalam Islam sangat luas dan tidak terhad pada
ibadah-ibadah ritual semata. Ia meliputi perkara-perkara yang biasa
kita lakukan sehari-hari.
Membuang sampah pada tempatnya yang disediakan adalah amal soleh.
Meletakkan kereta dalam posisi yang tidak mengganggu pengguna jalan yang lain adalah amal soleh.
Bahkan, tersenyum apabila berjumpa dengan jiran sebelah rumah juga amal soleh.
Sungguh banyak amal soleh yang boleh kita lakukan. Benar ucapan Abu
Hazim: "Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu
hari nanti, barang-barang itu akan menjadi sangat mahal sehingga tidak
mampu dibeli."
Barang-barang akhirat menjadi mahal apabila nyawa telah berada di
tenggorokan. Pada saat itu, pintu taubat dan pintu amalan telah ditutup.
Andai seseorang hendak bersedekah semua hartanya sekalipun, Allah tidak
akan menerimanya.
Rumah siap
Hidup di dunia adalah satu kesempatan untuk membina rumah selesa di
akhirat. Dan orang yang berakal tidak akan melepaskan kesempatan besar
ini. Sebelum meninggal dunia, ia berusaha untuk memastikan ada rumah
yang akan ia diami di syurga.
Ibnu Rajab al-Hanbali bercerita, suatu hari seseorang yang soleh
berjumpa malaikat dalam mimpinya. Malaikat itu berkata: "Kami
diperintahkan untuk menyelesaikan rumahmu di syurga. Rumah itu diberi
nama: "Vila Kebahagiaan" (Dar al-Surur). Kami telah membina dan menghiasinya dengan sangat indah.
"Khabar gembira untukmu," lanjut malaikat, "setelah tujuh hari nanti, rumah itu akan rampung dibina."
Ibnu Rajab berkata: "Tujuh hari kemudian, orang soleh itu meninggal dunia."
Semoga Allah memberi kita taufik dan hidayah untuk kembali kepada Allah sebelum maut menjemput. Amin ya rabbal álamin.
No comments:
Post a Comment