Sinar HarianBerita  Harian OnlineUtusan  OnlineHarakahSabahdailyThe Star  MelayuSuara  KontemporariHarian  Metro Online SabahkiniBernama  NewsNst OnlineMalay Mail The StarSinar   HarianAljazeera EnglishThemalaysianinsider Republika OnlineTranungkite

Wednesday, December 28, 2011

Perbincangan JPA-CUEPACS isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam berhasil

 PERBINCANGAN JPA - CUEPACS 
isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam ( SBPA ) berhasil

PUTRAJAYA 27 Dis. - Perbincangan hampir lima jam antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini membawa hasil apabila markah prestasi untuk kenaikan gaji dan markah pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) diselaraskan serta-merta dalam mesyuarat itu.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, JPA bersetuju untuk menurunkan markah penilaian prestasi bagi kenaikan gaji di bawah skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) daripada 75 kepada 65.

"Di bawah SBPA yang asal kalau prestasi di bawah 75 markah maka tak ada kenaikan gaji berlaku, tetapi kita telah mengubahnya kepada 65 markah.

"Untuk pelaksanaan Dasar Pemisah pula, markah diubah daripada 70 kepada 60. Ini bermakna penjawat awam hanya akan dimasukkan ke dalam Dasar Pemisah kalau gagal mencapai 60 markah," katanya selepas perbincangan itu yang melibatkan pegawai kanan JPA termasuk Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh lebih 100 Ahli Majlis dan pemimpin CUEPACS dari seluruh negara.

Mengulas lanjut Omar berkata, JPA pada masa sama telah bersetuju untuk mengkaji cadangan-cadangan CUEPACS yang melibatkan implikasi kewangan atau peruntukan tambahan kerajaan.

"Perkara-perkara yang tidak melibatkan soal kewangan seperti markah prestasi telah diputuskan dalam perbincangan hari ini. JPA bagaimanapun memerlukan masa untuk mengkaji cadangan lain.

"Semua perkara yang dibangkitkan akan dikaji dalam tempoh tiga bulan sehingga perundingan seterusnya yang dijadualkan pada hujung Februari tahun depan, ini termasuk isu gaji maksimum dan gred jawatan yang tertinggal," katanya.

Omar berkata, setiap gred perkhidmatan awam akan dikaji secara teliti dan beliau meminta supaya penjawat awam mengemukakan sebarang masalah yang timbul kepada CUEPACS untuk dibawa kepada JPA.

Beliau bagaimanapun menegaskan SBPA secara keseluruhannya adalah baik untuk masa depan perkhidmatan awam negara.

"Tetapi SBPA mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang perlu dikaji semula dan ditambah baik," katanya.

Wednesday, December 21, 2011

7,079 GSTT ke jawatan tetap

Kerajaan serap sebaik guru terbabit tamat kursus di IPGM, IPTA

PUTRAJAYA: Seramai 7,079 daripada 13,184 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negara akan diserapkan dalam jawatan tetap selepas mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpilih, mulai Januari ini. 

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata langkah itu membuktikan komitmen Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menyelesaikan isu membabitkan 13,184 guru GSST di seluruh negara.
Beliau berkata, sebenarnya seramai 1,799 daripada 13,184 guru GSTT terbabit sedang mengikuti latihan perguruan menerusi mod kursus dalam cuti (KDC) di IPGM di seluruh negara sejak beberapa bulan lalu.

“Bagaimanapun, pada hari ini (semalam), kita memutuskan untuk memberi peluang kepada 7,079 guru GSTT mengikuti latihan perguruan di IPTA dan IPGM di seluruh negara mulai Januari depan.


“Ia dilakukan selepas proses saringan permohonan daripada GSTT menerusi kaedah penyerapan di bawah Skim Perkhidmatan Pelajaran selesai,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung isu GSTT di pejabatnya, di sini, semalam.


Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, 4,433 GSTT akan mengikuti kursus Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah KPLI (DPLI) di IPTA (mulai Februari 2012).

“Selebihnya akan mengikuti kursus menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di IPGM di seluruh negara mulai 9 Januari depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kementerian menolak 2,788 permohonan lain kerana GSTT terbabit gagal mengemukakan maklumat lengkap atau dokumen asal ketika menghadiri temu duga sebelum ini.


Bagaimanapun, katanya, kementerian bersedia memberi peluang membenarkan guru terbabit membuat rayuan dengan mengemukakan permohonan lengkap bersama salinan sijil asal yang sudah disahkan untuk pertimbangan semula kementerian sebelum tarikh tutup pada 26 Disember ini.


“Kementerian juga menolak permohonan 2,012 calon lain kerana tidak memenuhi syarat minimum iaitu berkhidmat sebagai GSTT sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut.


“Selebihnya, 916 permohonan lagi ditolak kerana berumur lebih 35 tahun iaitu melebihi had ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.
 

Keputusan PMR diumum Khamis

PUTRAJAYA: Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan diumumkan Khamis ini dan calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi hari berkenaan.

Mulai tahun ini juga, Kementerian Pelajaran memperkenalkan perkhidmatan semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888 yang akan diaktifkan bermula jam 10 pagi hari sama dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam pada 28 Disember. 

Maklumat lanjut berhubung perkhidmatan SMS boleh diperoleh di laman rasmi kementerian www.moe.gov.my. Seramai 481,292 calon menduduki PMR tahun ini di 3,521 pusat peperiksaan seluruh negara.

Majlis pengumuman analisis keputusan PMR itu akan diadakan pada jam 9 pagi hari yang di Kementerian Pelajaran.

Monday, December 19, 2011

CUEPACS minta tangguh SBPA

CUEPACS MINTA TANGGUH SBPA ( SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM )


KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mahu CUEPACS diberi hak untuk turut sama dalam perundingan mengenai pelaksanaan skim tersebut.

"Kami sangat kecewa kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak langsung mengadakan rundingan dengan CUEPACS sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

"Tidak seperti sebelum ini, kami sentiasa diberi peluang untuk turut terlibat dalam rundingan sebelum sesuatu skim untuk kakitangan awam dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Bantahan SPBA di sini, hari ini.

Omar menegaskan kerajaan seharusnya memastikan setiap kakitangan perkhidmatan awam yang berjumlah 1.4 juta orang menerima maklumat tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

"Ini kerana, pegawai JPA yang membuat taklimat mengenai SPBA kepada kakitangan awam memberi maklumat berbeza-berbeza mengenai skim tersebut.

"Oleh itu, CUEPACS akan mengutarakan beberapa perkara mengenai SPBA yang dilihat mengelirukan kakitangan awam pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 22 Disember ini," katanya.

Jelas Omar, pada pertemuan itu nanti, CUEPACS juga akan membawa isu mengapa kesatuan itu tidak diberi peluang untuk turut sama dalam perundingan bersama-sama JPA sebelum skim itu dilaksanakan.

"Selain itu, tempoh opsyen yang singkat dan kenaikan gred gaji yang berbeza-beza akan dibincangkan pada pertemuan tersebut," katanya.

Omar sekali lagi menasihatkan penjawat awam agar menunggu keputusan pihaknya pada perbincangan yang akan diadakan bersama Najib sebelum menerima SBPA.