Zulhijjah & IdilAdha : 
Beberapa Isu &  Hukum
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
 www.zaharuddin.net
KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..
  Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan  peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan  keredhaan, keampunan dan pahala amalan.
Disebutkan oleh Nabi SAW : 
 "Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih). 
 Allah SWT pula berfirman : 
 وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
 "Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1). 
 Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama  hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad  Al-Ma'ad, Ibn Qayyim). 
 Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain : 
 "Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya  memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari). 
 AMALAN-AMALAN UTAMA
Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :- 
 a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar. 
 Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam  Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka  menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka  serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang  tertentu.." (Al-Hajj : 28). 
 Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua. 
 b) Berpuasa  : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi  orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah  hari yang terbaik untuk berpuasa. 
 Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah : 
 "Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim). 
 Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah  ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya. 
 c) Melakukan lain-lain amalan  seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia  semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat  disukai oleh Allah SWT. 
 d) Menjauhi maksiat  dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih  berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria  dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT  ini. 
 Bertaubatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini  sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata. 
 e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq. 
 f)  Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut : 
 وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب
 Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32) 
 Sebuah hadis menyebut  : 
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم
 Ertinya  : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada  hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat  At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan ) 
 POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN 
 Hukum berkorban adalah sunat muakkad  (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta.  Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu  Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain,  kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang  berkemampuan.[1] 
 Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal  untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan  kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-
من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي 
 Ertinya  : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk  sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau  kukunya  SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 ) 
 Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya. 
 Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah  r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan  membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a  menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu  masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis  tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. 
 Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.  
 TIDAK DIBENARKAN  juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu  yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban.  Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang  disyariatkan di hari raya Aidiladha. 
  Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja.  Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik,  Syafie, Ahmad dan lain-lain.  [2]
  Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT  semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya  untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.
 Firman Allah :
لَن  يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ  التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ  عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
 Ertinya  : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai  (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.  Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu  mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar  gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37) 
 KONGSI LEMBU  
   Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu  dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan  hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]
 Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan. 
 Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban : 
احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها
 Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama" 
 BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN 
  Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian  biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu,  kerbau. 
 Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya. 
 PEMBAHAGIAN DAGING 
 Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT : 
 1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban, 
 1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan 
 1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya. 
 Ia berdasarkan firman Allah SWT : 
 فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
 Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) 
dan juga firman Allah : 
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
 Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36) 
  Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a  dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut  cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU  KEBANYAKKANNYA. [4]
  Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan  penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal),  bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau  diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. 
 TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya. 
  Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil  Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]
  DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3  (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim. 
 MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR 
  Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya  HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi  mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]
 Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini. 
 BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG 
 Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?. 
 Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini.  Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau  melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh  janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang. 
  Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya  seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang,  tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan  berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta  tempoh yang dijanjikan. 
 Jika  tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan  datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu   barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan. 
  Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut  majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib. 
  Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi  hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga  menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak  wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian  hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya. 
 KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT? 
  Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah  sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua  puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat? 
 Jawab ringkas saya: 
 "tidak boleh !" 
  Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau  untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia.  Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI  menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya. 
  Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang  ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat  terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan  bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK  DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi  oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu  manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau  bahagiannya kepada kakitangan sahaja. 
  Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah  meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga  pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi  individu. 
 APAKAH HAJI AKBAR ? 
  Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah  sebagai Haji  Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani). 
 Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab: 
 "Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi) 
 Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah. 
 Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7].  Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar  r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang  jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala  Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada  Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia  berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid  as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya  "tiada asalnya". 
 Kesimpulannya :  Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang  jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari  Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah  semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq). 
  Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil  adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat  Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu  mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan  menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana  mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu  'alam 
 Sekian 
 Doha, Qatar 
 27 Dis 2006 ( 7 Zulhijjah 1427 H) 
 Kemaskini : 16 Disember 2007 ( 6 Zulhijjah 1428 H - Malaysia ; 7 Zulhijjah 1428 H - Saudi) 
 KEMAS KINI : 29 Nov 2008 ( 1 Zulhijjah 1429 H ) 
 [1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197 
  [2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436 
  [3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313 
  [4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200 
  [5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225 
  [6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201 
  [7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas


















 

 
  
.jpg)
No comments:
Post a Comment