Misteri Makhluk Halus Tumpang Solat | Berhadapan situasi takut,
pelik, tergamam seperti terjumpa dengan makhluk halus mungkin
menyebabkan kita menjadi lemah semangat. Perasaan ini juga yang sedang
bermain di fikiran empat sekeluarga yang menghuni rumah di Kampung Desa
Penyayang, Sri Medan, apabila ruang rumah mereka dijadikan tempat untuk
solat jenazah makhluk halus. Kejadian berkenaan disedari apabila
penghuni rumah berkenaan pulang setelah beberapa ketika mengosongkan
kediaman mereka.
Mohd Amin Kamil, 46, berkata, kejadian pelik di rumahnya mula
berlaku tiga tahun lalu, apabila isterinya, Rahimah Mohamed, 49,
mengemas sejadah yang terbuka.
Katanya, pada mulanya isterinya menganggap anak mereka menunaikan solat dan terlupa melipat sejadah tersebut.
“Saya dan isteri mula berasa pelik dengan kejadian ini dan
membiarkannya sahaja dan tidak berkata apa-apa. Kami beranggapan
mungkin ada di antara kami terlupa mengemas sejadah berkenaan.
“Tetapi perkara itu berulang kembali dan ia berlaku tiga kali
berturut-turut, di mana kejadian berkenaan berlaku apabila masuknya
waktu solat Asar, Maghrib dan juga Isyak.
“Perkara ini juga akan berlaku ketika matahari sedang naik, dan ia
hanya berlaku apabila awal Muharam, tetapi kami diamkannya sahaja dan
menganggap ‘mereka’ hanya menumpang solat,” katanya kepada Sinar Harian.
Kain batik lepas terbentang sendiri
Menurut Mohd Amin, bagaimanapun sesuatu mengejutkan berlaku apabila
dia pulang sahaja ke rumah Khamis lalu dan mendapati di satu ruang
dalam rumahnya terdampar sejadah untuk solat berjemaah.
Katanya, lebih mengejutkan di hadapan sekali dia melihat bantal dan
juga kain batik lepas dibentang seperti menutup seorang jenazah.
“Saya terkejut dengan kejadian berkenaan dan bergegas keluar memberitahu isteri.
“Isteri saya memberitahu, sebelum dia keluar, rumah dikunci. Lalu kami teringatkan perkara yang berlaku sebelum ini di rumah.
“Sebelum itu, awal pagi dan sehari sebelum ini, saya mendapati
sejadah di rumah kami terbentang seperti selalu. Kami membuat andaian
mungkin salah seorang daripada makhluk halus berkenaan telah meninggal
dunia,” katanya.
Sebelum ini, katanya, dia berhubung dengan beberapa ustaz dan mereka
menyatakan makhluk berkenaan hanya untuk menumpang sahaja dan tidak
mengganggu isi rumah.
Sebelum ini katanya, kejadian seumpama ini tidak pernah berlaku walaupun mereka telah mendiami rumah tersebut hampir 19 tahun.
No comments:
Post a Comment