KEHIDUPAN saya sebelum ini agak hanyut dan lalai dalam menunaikan
tanggungjawab terhadap agama. Saya ingin mendapatkan penjelasan ustaz
mengenai beberapa perkara tentang hukum puasa yang pernah saya abaikan
sebelum ini.
1. Bagaimana saya perlu menggantikan semua puasa yang pernah saya abaikan sebelum ini?
2. Berapa banyakkah fidyah yang perlu saya bayar dan boleh ustaz
jelaskan bagaimana nilai
fidyah dikira (daripada cupak kepada nilai
duit).
3. Adakah fidyah itu perlu saya lakukan setelah saya habis menggantikan puasa saya?
JAWAPAN:
Alhamdulillah, syukur kepada Allah Ta'ala yang telah memberi
hidayah-Nya kepada saudara. Semoga Allah mengekalkan nikmat hidayah ini
untuk saudara dan juga sekelian umat Islam.
Berkenaan dengan puasa yang diabaikan sebelum ini, dapatlah
dikategorikan pengabaian dan peninggalan puasa kepada dua bahagian;
pertama, puasa yang diabaikan dan ditinggalkan secara sengaja. Puasa
jenis ini tidak boleh diganti sama sekali. Akan tetapi apa yang boleh
dilakukan oleh saudara untuk menebusnya adalah bertaubat dengan taubat
nasuha iaitu taubat yang benar dan jujur. Taubat nasuha mengandungi
empat elemen utama iaitu, pertama; menyesal terhadap dosa besar yang
dilakukan. Kedua; berazam untuk tidak mengulangi dosa besar itu.
Ketiga; memperbanyakkan amalan-amalan saleh. Keempat; jika dosa besar
itu berkaitan dengan manusia, maka hendaklah dipulangkan, atau dimohon
maaf, atau ditebus.
Bahagian kedua, puasa yang diabaikan dan ditinggalkan secara tidak
sengaja dan mempunyai sebab. Pengabaian dan peninggalan puasa jenis ini
boleh diganti. Terdapat dua kategori pengabaian puasa yang boleh
diganti. Kategori pertama; puasa yang ditinggalkan dan perlu diganti
dengan puasa juga.
Kategori orang yang perlu menggantikan puasa mereka dengan puasa
ganti di bulan lain ialah orang sakit yang boleh sembuh dan orang yang
mengembara. Firman Allah Ta'ala (al-Baqarah 2:184) yang bermaksud: "Maka
sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia
berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu
pada hari-hari yang lain."
Kategori kedua; puasa yang ditinggalkan dan perlu diganti dengan
fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang
ditinggalkan. Kategori orang yang perlu menggantikan puasa mereka
dengan fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin ialah orang
lelaki tua yang tidak mampu berpuasa, wanita tua yang tidak mampu
berpuasa, orang sakit yang tidak boleh sembuh, wanita yang hamil dan
wanita yang menyusukan anak. Firman Allah Ta'ala (al-Baqarah 2:184)
yang bermaksud: "Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin."
Terdapat riwayat daripada Ibnu Abbas yang menerangkan kategori ini
seperti berikut: Riwayat pertama bermaksud: Daripada 'Ata' bahawa dia
mendengar Ibnu 'Abbas membaca,"Dan wajib atas orang-orang yang diberatkan puasa (kerana tua dan sebagainya maka mereka tidak mampu berpuasa, {membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin,". Ibnu 'Abbas berkata 'Ayat ini tidak mansukh. "Mereka ialah orang tua lelaki dan wanita yang tidak mampu berpuasa maka mereka memberi makan bagi setiap hari seorang miskin," (Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Quran, Bab Qaulih Ta'ala 'Ayyaman Ma'dudat...', No. 4145).
Riwayat kedua bermaksud: Daripada Ibnu Abbas bahawa beliau berkata, "Dibenarkan
untuk orang tua lelaki dan wanita tua yang kedua-duanya mampu berpuasa,
untuk berbuka jika mereka ingin, dan memberi makan kepada orang miskin
bagi setiap hari itu,". Kemudian perkara itu dimansuhkan dengan ayat ini; "{Maka
sesiapa yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka
hendaklah dia berpuasa bulan itu}. Akan tetapi, perkara ini kekal untuk
lelaki tua dan wanita tua jika mereka tidak mampu berpuasa, juga untuk
wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak jika kedua-duanya khuatir
maka mereka berdua berbuka dan memberi makan satu orang miskin bagi
setiap hari,". (Hadis riwayat al-Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Jumu'ah, Bab al-Hamil wa al-Murdi' iza Khafata, No. 7464).
Justeru, puasa yang ditinggalkan dengan sengaja hendaklah dikesali
dan dilakukan taubat nasuha. Manakala puasa yang ditinggalkan secara
tidak sengaja hendaklah diganti sama ada dengan berpuasa atau dengan
memberi makan kepada orang miskin mengikut keterangan di atas.
Berdasarkan kepada keterangan di atas, fidyah atau memberi makan
kepada orang miskin adalah untuk orang tua yang tidak mampu berpuasa
sama ada lelaki atau perempuan, orang sakit yang tidak dapat sembuh,
wanita hamil dan wanita yang menyusukan anaknya. Kadar fidyah pula
adalah dua cupak atau setengah gantang makanan asasi seperti beras,
gandum, kurma dan sebagainya, iaitu bersamaan dengan satu setengah
kilogram. Boleh juga dibuat satu set makanan lalu diberikan kepada
orang miskin pada kadar seorang miskin untuk satu hari yang
ditinggalkan. Akhir sekali, tiada dalil yang menunjukkan fidyah itu
perlu digandakan berdasarkan kepada kelewatan menggantikannya. Dalam
erti kata lain, satu hari hanya perlu diganti dengan berpuasa satu hari
atau dengan memberi makan kepada seorang miskin.
Semoga Allah Ta'ala mengampuni kelemahan kita dan menerima amalan saleh yang kita lakukan.
Soalan 2
Salam
Semoga Ustaz berada dalam sihat-sihat di beri Allah. Saya ada dua kemusykilan.
1. Musykil sikit tentang bacaan al-Quran saya yang
merangkak-rangkak, hari-hari saya
bersungguh ingin membaca dengan
betul. Namun sekarang terdapat banyak alat-alat canggih,
saya dengar
dari situ dan saya ikut cara mereka baca. Bagaimana pandangan ustaz dan
dari
hadis-hadis Nabi SAW tentang penggunaan alat-alat ini.
2. Saya tidak jumpa hadis yang menyatakan: Sesiapa mati pada
malam/pagi jumaat, maka dia
bebas daripada soal jawab dan seksa kubur.
Benarkah Ustaz?
Sekian, terima kasih
Salam Ramadan Al Mubarak
Pak Ngah
Jawapan Minggu 4 Soalan 1:
Saya amat terharu dengan kesungguhan Pak Ngah membaca al-Quran
walaupun merangkak-rangkak. Teringat saya kepada hadis Nabi SAW di mana
baginda bersabda, "Orang yang mahir membaca al-Quran setaraf dengan
malaikat yang mulia lagi taat (al-Safarah al-Kiram al-Bararah). Adapun
orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tersangkut-sangkut dan
bersusah payah membacanya, dia akan dapat dua pahala." (Hadis Sahih
riwayat al-Imam Muslim, Kitab, Bab, No. 798). Nasihat saya kepada Pak
Ngah agar meneruskan usaha mulia ini sehingga akhirnya berdiri setaraf
dengan martabat para malaikat.
1. Adapun berkenaan dengan alat-alat canggih yang dijual di pasaran,
yang memperdengarkan bacaan al-Quran al-Karim, saya nasihatkan Pak Ngah
seperti berikut: Pertama, pastikan alat-alat itu mendapat kelulusan
Kementerian Dalam Negeri. Jika diluluskan, maka tiada masalah untuk Pak
Ngah menggunanya untuk membantu memperelokkan bacaan al-Quran.
Menggunakan alat-alat moden ini termasuk dalam urusan dunia, di mana
Rasulullah telah bersabda, "Kamu semua lebih mengetahui tentang urusan
duniamu." (Hadis sahih riwayat al-Imam Muslim, Kitab al-Fada'il, No.
2363).
Dengarlah bacaan daripada alat-alat itu, kemudian ikutlah membaca.
Kedua, walaupun alat-alat itu mendapat kelulusan KDN, Pak Ngah tetap
perlu cuba sedaya-upaya untuk memperbetulkan bacaan al-Quran dengan
memperdengarkan bacaan Pak Ngah kepada seorang Ustaz yang berkemahiran
dalam ilmu tajwid. Ini kerana, alat-alat itu hanya dapat
memperdengarkan bacaan dan tidak dapat mengenal pasti kesilapan bacaan
kita. Buatlah perkara yang kedua ini walaupun seminggu sekali.
2. Hadis yang dicari oleh Pak Ngah itu bermaksud, "Tiada seorang
muslim pun yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat, kecuali dia
akan diselamatkan oleh Allah daripada fitnah/azab kubur." Hadis ini
diriwayat oleh al-Imam at-Tirmizi dalam al-Sunah, Kitab al-Jana'iz, Bab
Ma Ja'a fi Man Mata Yaum al-Jumu'ah, No. 1074. Hadis ini juga
diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal dalam al-Musnad, di dalam
Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 6546. Status hadis ini
dipertikaikan oleh para ulama. Ada yang menghukumnya daif dan ada yang
menghukumnya hasan. Saya lebih cenderung kepada pandangan bahawa hadis
ini adalah berstatus hasan. Justeru hadis ini dapat dijadikan sandaran
dalam memberi berita gembira bagi orang Islam yang mati pada hari
Jumaat atau malam Jumaat. Semoga Allah Taala mengurniakan kepada kita
husnul khatimah atau kematian yang baik, dan menyelamatkan kita semua
daripada azab kubur dan juga azab neraka.
No comments:
Post a Comment