CUEPACS tuntut enam perkara
KUALA LUMPUR 19 Sept. - Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut enam
perkara dalam pembentangan Bajet 2013 nanti.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pertama, kerajaan harus
mewajibkan pemaju membina 35 peratus rumah mampu milik bernilai antara
RM60,000 hingga RM150,000.
Menurutnya, ia bagi memastikan lebih ramai rakyat termasuk kakitangan
awam dapat membeli rumah di kawasan bandar kerana jika jarak pergi
balik dari kediaman ke tempat kerja lebih 100 kilometer, ia tidak
relevan dan tidak praktikal.
''Sekarang didapati hanya di kawasan luar bandar sahaja menawarkan
rumah mampu milik, sedangkan ramai kakitangan awam bekerja di bandar.
''Justeru, diharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat
mempertimbangkan tuntutan tersebut kerana masalah ini bukan sahaja
melibatkan kepentingan 1.4 juta kakitangan awam tetapi rakyat
keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi CUEPACS di sini hari ini.
Lima tuntutan lain pula adalah pemberian bonus dua bulan gaji,
menyambung kontrak lebih 45,000 kakitangan awam yang akan tamat pada 31
Disember ini dan mengkaji semula imbuhan tetap perumahan.
Selain itu, mewujudkan semula Majlis Bersama Jabatan (MBJ) di
peringkat Persekutuan serta penambahbaikan sistem perkhidmatan sekarang
berikutan pembatalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)
baru-baru ini.
Omar juga menggesa kerajaan agar mengkaji imbuhan tetap perumahan
serta inisiatif kakitangan awam di Sabah dan Sarawak yang disifatkan
sudah tidak relevan.
''Bayangkan masih ada yang menerima imbuhan perumahan serendah RM180 sebulan sedangkan harga rumah kini semakin mahal," ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya apakah jaminan CUEPACS sekiranya
tuntutan tersebut diterima kerajaan, Omar memberitahu, pihaknya
mencadangkan supaya kakitangan awam bekerja lebih masa 30 minit setiap
hari iaitu masuk ke pejabat 15 minit lebih awal dan pulang 15 minit
lewat daripada biasa.
''Jika kerajaan terima 70 peratus daripada enam tuntutan itu, kita
akan bawa cadangan ini kepada Ketua Setiausaha Negara agar dapat
dilaksanakan.
''Saya yakin semua kakitangan awam akan bersetuju dengan cadangan tersebut sekiranya Perdana Menteri menerimanya," katanya.