Bajet 2013: Tambahan bonus sebulan gaji kakitangan awam
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Kira-kira 1.3 juta penjawat awam akan
menerima bonus sebulan gaji manakala pesara akan menerima RM500,
demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata bonus sebulan itu sebagai tambahan kepada setengah
bulan gaji yang telah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri yang lepas,
Bayaran bonus itu akan dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan
pada bulan Disember manakala setengah bulan lagi pada Januari depan.
"Sebagai kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan
pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Dari jumlah tersebut,
setengah bulan telahpun diberikan menjelang Aidilfitri yang lepas,"
kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan
2013 di Dewan Rakyat hari ini.
Kerajaan pada Ogos lepas memberikan bonus setengah bulan gaji dengan
minimum RM500 kepada semua penjawat awam, manakala pesara menerima RM500
bagi menyambut Aidilfitri.
Najib berkata pemberian bonus tersebut diharap dapat mengurangkan
beban penjawat awam terutamanya yang berkeluarga, bagi menghadapi musim
persekolahan yang akan bermula Januari depan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment