KISAH SEORANG WANITA YANG TERKENA BADI
MAYAT |
Kisah ini telah diceritakan oleh Ustaz
Azrin Abdul Karim melalui pengalamannya sendiri sebagai seorang pengamal
perubatan Islam. Jom baca kisah kat bawah ni..
Suatu hari saya dikunjungi oleh pasangan suami
isteri yang datang untuk mendapatkan rawatan. Ketika mereka datang si suami
memapah isterinya dalam keadaan yang amat payah kerana isterinya tidak dapat
berjalan. Kelihatan kaki dan tangan isterinya bengkak dan mengeluarkan bahang
seperti orang yang kena demam panas. Isterinya tidak mampu untuk mengeluarkan
kata-kata kerana menahan kesakitan yang amat sangat. Kedengaran dia hanya
mengerang kesakitan.
Menurut si suami, isterinya terkena badi mayat,
dan semenjak empat hari yang lalu dia mengadu arwah adiknya yang baru meninggal
dunia seminggu yang lepas kerap datang menemuinya meminta tolong. Konon adiknya
tersiksa di alam barzakh dan meminta isterinya mengadakan kenduri arwah
untuknya.
Kebetulan ketika itu pelajar-pelajar yang baru
mengikuti kursus Rawatan Islam anjuran saya datang ke rumah untuk
bertukar-tukar pendapat. Jadi pada hari itu dapatlah kami ramai-ramai melakukan
rawatan keatas wanita tersebut.
Saya bertanyakan dengan lebih lanjut, bagaimana
punca isterinya boleh sakit sebegini. Menurut si suami lagi, ketika arwah adik
isterinya meninggal dunia, mayatnya disimpan di bilik mayat hospital. Kemudian
mereka diminta datang untuk pengesahan waris, ketika sampai di bilik mayat,
isterinya membuka kain penutup mayat untuk melihat wajah si mati, kebetulan
apabila terbuka sahaja kain penutup mayat, tiba-tiba telefon bimbit beliau
berdering menyebabkan beliau terlalu terkejut dan jatuh terkulai. Seluruh
anggota badan isterinya menjadi lemah dan sejak kejadian itu isterinya mulai
jatuh sakit.
Setelah mendapat penjelasan, kami pun memulakan
sessi rawatan. Kami beramai-ramai membaca ruqyah. Kelihatan wanita tersebut amat
tidak selesa dan mula mengerang dengan agak kuat. Saya menyedari bahawa jin
yang menganggu wanita tersebut sudah menzahirkan dirinya. Saya mula
berinteraksi dengan bertanyakan jin tersebut siapakah dia. Pada mulanya dia
mengaku bahawa dia adalah arwah adik wanita tersebut yang baru meninggal akibat
kemalangan jalan raya. Dia memberitahu mukanya sudah pecah dan sudah tidak
seperti muka manusia lagi. Dia meminta belas kasihan supaya membantunya.
Menyedari bahawa ini adalah tipu daya jin, saya
meminta ia keluar dan mengugut untuk menyiksanya dengan siksaan yang berat,
kerana dia menganggu wanita ini dan membuat tipu daya untuk memesongkan aqidah
manusia. Setelah saya mengenakan beberapa siksaan barulah jin tersebut mengaku
bahawa dia sebenarnya adalah jin dari bilik mayat hospital. Dia mengambil
kesempatan untuk masuk kedalam tubuh wanita tersebut ketika wanita itu didalam
keadaan terperanjat sewaktu di bilik mayat hospital tempohari.
Perlu kita ambil perhatian, diantara waktu dan
ketika-ketika jin suka menganggu dan masuk ke tubuh manusia ialah ketika
manusia terlalu suka, terlalu sedih, terlalu marah, terlalu bernafsu dan
terlalu takut atau terlalu terperanjat. Kerana itulah Islam menganjurkan kita
agar sentiasa berada didalam keadaan tenang dan jangan bersifat keterlaluan
didalam satu-satu perkara kerana dikhuatiri syaitan akan mencampuri urusan kita
ketika itu.
Akhirnya jin tersebut bersetuju keluar dan
berjanji tidak akan mengganggu wanita itu lagi. Setelah ia sedar, saya beri dia
minum segelas air rawatan dan minta ia sapukan sedikit kemukanya. Apa yang saya
tidak sangka, selepas lima
minit wanita tersebut sedar, dia sudah mula boleh bercakap dan tubuh badannya
yang bengkak dan amat panas tadi, telah kembali normal seperti biasa. Sewaktu
mereka pulang juga wanita tersebut sudah boleh berjalan sendiri, dan tidak
dipapah lagi oleh suaminya.
Keesokan harinya saya mendapat panggilan telefon
dari suami wanita tersebut, mengucapkan terima kasih dan memberitahu isterinya
sudah sihat sepenuhnya.
Maha Suci Allah, Dialah Pemilik Kesembuhan, Dialah
yang menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebathilan.
No comments:
Post a Comment