Cara-cara mandi wajib yang betul mengikut syarat sah mandi wajib.
Soalan; Macam mana mandi hadas besar dengan betul, 
mudah dan mengikut sunnah nabi. Bolehkah kita menyentuh kemaluan ketika 
mandi atau itu boleh membatalkan mandi kita tadi? Saya was-was dalam hal
 ini.
Jawapan;
Kaifiyat mandi hadas yang sempurna dan mudah diamalkan ialah dengan 
mengikut cara mandi Nabi s.a.w., antaranya yang diceritakan oleh 
Saidatina ‘Aisyah r.a sebagaimana berikut;
“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula
 dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke 
tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan 
kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil 
wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda 
mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga 
apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar 
rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak 
tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. 
Kemudian baginda membasuh kedua kakinya” (HR Imam Muslim).
Dari hadis di atas, dapat kita simpulkan cara mandi hadas seperti berikut;
1. Setelah membaca Bismillah, mulakan dengan membasuh dua tangan. Di 
dalam hadis yang lain,  
    ada dinyatakan baginda membasuh dua tangannya 
sebanyak dua atau tiga kali.
2. Kemudian basuh kemaluan dan najis di badan jika ada dengan menggunakan tangan kiri.
3. Setelah itu ambil wudhuk sebagaimana yang biasa dilakukan.
4. Kemudian mulakan mandian dari bahagian kepala terlebih dahulu 
hingga rata air di seluruh 
    kepala termasuk di celah-celah rambut.
5. Selesai bahagian kepala, lakukan mandian di bahagian badan pula; 
dari leher ke bawah. Sunat 
    menjirus bahagian kanan terlebih dahulu, 
kemudian baru diikuti sebelah kiri.
6. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya 
bahagian-bahagian 
    yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika 
tidak digosok.
7. Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya.
8. Ketika mandi itu, jangan lupa berniat di dalam hati melakukan 
mandi yang diwajibkan atau 
    berniat mandi untuk menghilangkan hadas besar
 dari badan.
Menyentuh kemaluan tidaklah membatalkan mandi. Ia hanya akan 
membatalkan wudhuk. Semasa mandi, jika menyentuh kemaluan itu dilakukan 
dengan niat/tujuan meratakan air ke bahagian kemaluan, tidaklah perlu 
mengulangi wudhuk kembali selepas mandi kerana sentuhan itu terpaksa 
dilakukan untuk menyempurnakan mandi wajib. Namun jika sentuhan itu 
berlaku setelah bahagian kemaluan itu telah diratakan air (semasa mandi 
itu) atau setelah selesai mandi, maka ketika itu barulah wajib mengambil
 wudhuk kembali selepas mandi. Adapun mandi, ia tidak terjejas 
semata-mata dengan menyentuh kemaluan.
Walahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/230.
MANDI HADAS DENGAN SHOWER DAN BILANGAN JIRUSAN
Soalan; Assalamualaikum, Ustaz, Adakah sah mandi 
hadas dengan “shower”? Dengan meratakan air ke seluruh badan sahaja 
tetapi tidak ada bilangan jirusan. Jika tidak sah, apa yang sepatutnya 
saya buat. Terima kasih. Hamba Allah yang keliru
Jawapan;
Para ulamak mereka membahagikan perbuatan-perbuatan yang perlu 
dilakukan di dalam ibadah (solat, puasa, haji, mandi hadas dan 
sebagainya) kepada dua kategori;
1. Perbuatan-perbuatan rukun
2. Perbuatan-buatan sunat
Perbuatan-perbuatan rukun jika ditinggalkan akan menyebabkan ibadah 
rosak dan batal. Adapun perbuatan-perbuatan sunat jika ditinggalkan 
tidaklah menyebabkan ibadah rosak dan batal, akan tetapi akan 
mengurangkan pahala ibadah.
Bagi mandi hadas/wajib, perbuatan-perbuatan rukun ialah;
1. Berniat mandi hadas
2. Meratakan air ke seluruh badan.
Jika seseorang mandi dengan menyempurnakan dua perkara di atas, 
sahlah mandi hadasnya. Pertama, ia berniat di dalam hati ketika mandi 
itu bahawa mandi yang dilakukannya itu adalah bertujuan untuk 
menghilangkan hadas (bukan mandi biasa). Kedua, ia meratakan air ke 
seluruh badannya termasuk celah-celah rambut dan kawasan-kawasan yang 
berlipat di badan. Cara bagaimana ia mandi (sama ada dengan menyelam 
atau menjirus atau berdiri di bawah shower atau air terjun) tidaklah 
menjadi syarat asalkan air merata ke seluruh badan (dari hujung rambut 
hingga ke hujung kaki). Begitu juga, tidak disyaratkan bilangan jirusan 
tertentu. Jika dengan sekali jirusan sudah dapat meratakan air ke 
seluruh badan, memadai dengannya. Jika tidak, perlulah diulangi jirusan 
hingga diyakini air telah sampai ke serata badan. Namun, makruh mandi 
dengan terlalu banyak air hingga menimbulkan israf (pembaziran). Di 
dalam hadis, diceritakan bahawa; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- 
mandi dengan hanya segantang air sahaja” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim 
dari Anas. Lihat hadis ini dalam Bulughul-Maram, bab al-Wudhu’).
Itu adalah had wajib yang mesti dilakukan ketika mandi hadas. Adapun 
jika ingin mendapat pahala yang sempurna, hendaklah melakukan juga 
perbuatan-perbuatan yang disunatkan semasa mandi. Menurut mazhab 
Syafiie, di antara perbuatan yang disunatkan ketika mandi hadas ialah;
1. Membaca Bismillah.
2. Dimulai dengan membasuh kedua tangan.
3.Menggunakan tangan kiri ketika membasuh kemaluan dan ketika menghilangkan najis 
   di badan jika ada.
4. Mengambil wudhuk sebelum mula mandi.
5. Mandi dari atas ke bawah; yakni dari kepala turun ke kaki.
6. Menggosok celah-celah rambut dengan air, kemudian menjirus air ke kepala dengan tiga kali 
    cebukan air.
7. Mandi dari sebelah kanan, kemudian baru kiri, yakni menjirus badan sebelah kanan dahulu, 
    baru sebelah kiri.
8. Mengulangi mandi sebanyak tiga-tiga kali bagi setiap anggota.
9. Menggosok-gosok badan dengan tangan ketika mandi.
10. Menyelati celah-celah jari tangan dan kaki (jika dikhuatiri air tidak sampai tanpa diselati, 
      wajiblah melakukannya).
11. Membaca doa apabila selesai mandi sebagaimana doa selepas mengambil wudhuk.
Wallahu a’lam.


















 



 
.jpg)
No comments:
Post a Comment