Soalan: Yang 
dikasihi Dr Asri, menjelang Ramadan, baru-baru ini ada penceramah yang 
berceramah menyatakan bahawa sesiapa yang solat tarawih kurang dari dua 
puluh rakaat tidak sah. Beliau juga menyata Saidina Umar orang pertama 
mengadakan solat tarawih berjemaah, maka tidak mengapa kita mencipta 
ibadah baru sekalipun Nabi s.a.w tidak pernah ajar. Beliau kata juga 
sesiapa yang solat tarawih tapi tidak berselawat beramai-ramai seperti 
yang biasa dilakukan di tempat kita maka tidak ikut amalan Saidina Umar 
dan sesat. Soalan saya, betulkah demikian?
Khir, Shah Alam.
Jawapan Dr MAZA: Saudara, semoga kita 
semua menyambut kedatangan Ramadan kali ini dengan ibadah yang diterima 
Allah. Semoga jiwa kita semua penuh keikhlasan dan kasih-sayang sesama 
muslim. Malang sekali, fanatik atau taksub telah melahirkan 
penceramah-penceramah yang ‘terbabas’ sehingga berbicara apa sahaja yang
 dia suka tanpa menyemak terlebih nas-nas yang sabit. Untuk soalan 
saudara saya sentuh beberapa perkara berikut; 
1. Sebenarnya, solat tarawih berjemaah yang pertama dilakukan oleh 
Rasulullah s.a.w sendiri. Sesiapa yang membaca hadis, akan menemui hal 
ini. Daripada Aishah r.aha:
“Sesungguhnya RasululLah s.a.w keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda. Paginya orang ramai pun bercerita mengenainya. Maka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua), baginda pun solat, mereka solat bersama baginda. Paginya orang ramai pun bercerita. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. RasululLah s.a.w keluar bersolat, mereka solat bersama baginda. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan orang yang hadir. (Baginda tidak keluar) sehinggalah baginda keluar pada solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, baginda bersyahadah, dan bersabda amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kamu, tetapi aku bimbang difardukan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu. Sehinggalah RasululLah s.a.w wafat dalam keadaan begitu (tiada jamaah tarawih di masjid)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini dengan jelas menunjukkan Nabi s.a.w yang memulakan solat 
qiam atau disebut sebagai tarawih secara berjemaah dengan satu imam. 
Bukan ‘Umar r.a yang memulakannya. Namun baginda berhenti kerana bimbang
 ia menjadi kefarduan disebabkan simpati baginda kepada umat. Ini kerana
 zaman tersebut adalah zaman wahyu diturunkan atau zaman pensyariatan. 
Baginda tidak berhenti kerana ia salah atau tidak diizinkan, namun 
berhenti bimbangkan Allah fardukan kepada umat sedangkan umat ini 
mungkin ada yang tidak sanggup.
Maka dari hadis ini, solat tarawih berjemaah adalah sunnah yang 
jelas. Mereka selama tiga hari telah solat di belakang baginda. Jika 
tidak kerana kebimbangan itu, tentu baginda meneruskannya. Apabila 
baginda wafat kebimbangan itu tiada lagi. Wahyu sudah terputus. ‘Umar 
pun menghidupkannya kembali. Pada zaman Abu Bakr, terlalu singkat 
masanya, dan mungkin beliau tidak berkesempatan menguruskan hal tersebut
 disebabkan berbagai kesibukan seperti kes murtad dan seumpamanya, atau 
beliau tidak melihat keperluan untuk itu.
2. Justeru itu al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) dalam karyanya al-I’tisam mengulas hadis ini dengan berkata:
“Renungilah hadis ini. Ia menunjukkan kedudukan solat tarawih adalah sunat. Sesungguhnya solat baginda pada peringkat awal menjadi dalil menunjukkan kesahihan menunaikannya di masjid secara berjamaah pada bulan Ramadan. Baginda tidak keluar selepas itu adalah kerana bimbang difardukan. Tidak menunjukkan ia dilarang secara mutlak. Ini kerana zaman baginda ialah zaman wahyu dan tasyri’ (perundangan)..” (m.s 147, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
Adapun berhubung dengan perkataan Saidina ‘Umar yang menyebut solat tarawih pada zamannya “sebaik-baik bid’ah hal ini”, al-Imam al-Syatibi mengulas:
“Dia menamakannya bid’ah hanya disebabkan pada zahirnya setelah mana RasululLah s.a.w meninggalkannya. Sepakat pula ia tidak berlaku pada zaman Abu Bakr r.a. Bukannya bid’ah pada makna (syarak). Sesiapa yang menamakan bid’ah disebabkan hal ini (muncul semula), maka tiada perlu perbalahan dalam meletakkan nama (istilah). Justeru itu tidak boleh berdalil dengannya untuk menunjukkan keharusan membuat bid’ah” (m.s 147-148).
Maksudnya bid’ah yang disebut oleh Saidina ‘Umar adalah disudut baru 
muncul semula setelah Nabi s.a.w tinggalkan, maka ia dari segi bahasa 
boleh dinamakan bid’ah. Bukan bererti keharusan membuat bid’ah yang 
dilarang syarak.
3. Berdasarkan riwayat yang sahih dalam al-Muwata karya al-Imam Malik
 bin Anas, bilangan rakaat yang Saidina Umar perintah dilaksanakan 
adalah sebelas rakaat. Kata al-Saib bin Yazid:
“Umar telah memerintahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak sebelas rakaat” (Riwayat Malik).
Maka dengan itu riwayat al-Baihaqi melalui Yazid bin Khasifah 
daripada al-Saib bin Yazid yang menyebut bilangan yang ‘Umar perintahkan
 sebanyak dua puluh rakaat adalah bercanggah dengan riwayat sebelas 
rakaat yang sahih tadi. Sedangkan dari segi kekuatan riwayat, riwayat 
sebelas rakaat itu lebih kuat, maka riwayat dua puluh dianggap shaz 
(ganjil) kerana menyanggahi rawi yang lebih kuat.
Justeru, riwayat dua puluh dihukum daif oleh sesetengah ahli hadis. 
Sebahagian pula menerima riwayat Yazid bin Khasifah dan mentakwilkan 
bahawa ada hari Umar memerintahkan sebelas rakaat dan ada hari pula yang
 diperintahkan dua puluh. Apapun, hadis al-Imam Malik tadi yang menyebut
 sebelas rakaat menafikan dakwaan yang menyatakan sesiapa yang solat 
tarawih beserta witir sebelas rakaat tidak sah. Itu adalah dakwaan yang 
melampau dan zalim.
4. Sebenarnya, para ulama salaf solih sendiri berbeza pendapat 
tentang bilangan rakaat bagi solat tarawih bersama witir. Antaranya, 
pendapat yang menyatakan empat puluh satu, tiga puluh sembilan, dua 
puluh sembilan, dua puluh tiga, tiga belas dan sebelas. Adapun dari segi
 riwayat amalan Nabi s.a.w, Ummul Mukminin Aishah r.aha ditanya mengenai
 solat Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan, jawab beliau:
“Rasulullah s.a.w tidak pernah melebihi sebelas rakaat samada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini juga menunjuk perbuatan mencela solat tarawih sebelas 
rakaat adalah menyanggahi sunat Nabi s.a.w. Bahkan ramai ulama hadis 
yang mengutamakan bilangan sebelas rakaat ini sebagai mencontohi 
Rasulullah s.a.w.
5. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang 
ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dalam hal ini. Seseorang beribadah 
berdasarkan kemampuannya. Nabi s.a.w tidak pernah menetapkan, bahkan 
memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua
 rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk subuh berwitirlah. 
Lajnah Tetap dan Kajian Ilmiah serta Fatwa, Arab Saudi sendiri ketika 
mengulas hal menyebut:
“Tiada menjadi salah untuk menambah lebih dari sebelas kerana Nabi s.a.w tidak pernah menghadkannya sedikit pun. Bahkan apabila ditanya tentang solat malam baginda menyebut: “Dua rakaat, dua rakaat (secara dua rakaat setiap solat), jika seseorang kamu bimbang masuk waktu subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir kepada apa yang telah dia solat sebelum” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini baginda tidak menghadkan sebelas atau selainnya. Ini menunjukkan ada keluasan dalam solat malam pada Bulan Ramadan atau selainnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/195, Riyadh: Riasah Idarah al-Buhuth).
6. Adapun dakwaan bahawa sesiapa yang tidak berselawat semasa solat 
tarawih sesat maka itu adalah dakwaan yang melampau. Apakah beliau ingin
 menyatakan seluruh dunia Islam yang sebahagian besarnya tidak 
berselawat, termasuk Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi itu sesat?!
Selawat beramai-ramai semasa solat tarawih itu tidak dilakukan di 
zaman Saidina Umar, juga khalifah al-Rasyidin yang lain. Jika pada zaman
 Saidina Umar dan Saidina Uthman mereka bersalawat dan menyebut nama 
khalifah-khalifah selepas Nabi s.a.w seperti yang dilakukan oleh 
sesetengah pihak di negara ini, tentulah para sahabat tidak 
tertanya-tanya lagi siapakah bakal mengganti kedua khalifah tersebut 
selepas kewafatan mereka. Tentu tiada perbincangan lagi dalam menentukan
 para khalifah semasa zaman sahabah. Ini menunjukkan hal ini tidak 
dilakukan oleh para sahabah. Mencontohi Nabi s.a.w dan para sahabah 
dalam ibadah adalah paling baik dan selamat.
7. Di sana ada riwayat yang sahih
“bahawa Nabi s.a.w berwitir dengan membaca Surah al-A’la, al-Kafirun dan al-Ikhlas. Baginda menyebut selepas member salam Subhana al-Malik al-Quddus sebanyak tiga kali dengan memanjang dan mengangkat suara baginda” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud dan Ahmad).
Maka, jika kita mencontohi perbuatan tersebut, ia merupakan sunnah.


















 


 
.jpg)
No comments:
Post a Comment