Sinar HarianBerita  Harian OnlineUtusan  OnlineHarakahSabahdailyThe Star  MelayuSuara  KontemporariHarian  Metro Online SabahkiniBernama  NewsNst OnlineMalay Mail The StarSinar   HarianAljazeera EnglishThemalaysianinsider Republika OnlineTranungkite

Friday, May 27, 2011

Bolehkah Cukai Pendapatan Menggantikan Zakat Pendapatan?

Soalan: 
 
Saya telah menjelaskan cukai pendapatan saban tahun. Adakah ia sudah memadai dan saya tidak perlu lagi menunaikan zakat, khususnya zakat pendapatan?

Jawapan:
Terima kasih di atas pertanyaan tersebut. Untuk makluman, cukai dan zakat adalah dua perkara yang amat berbeza di dalam Islam.

Jika ditinjau kepada polisi Islam, Rasulullah SAW tidak pernah mengenakan sebarang jenis cukai kepada umat Islam. Bahkan baginda menegah cukai dilaksanakan. Atas dasar itulah, fuqahak seperti Syaikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali, Syaikh al-Albani dan ramai lagi menegaskan bahawa cukai tidak boleh dikenakan ke atas orang Islam.

Hal ini bersandarkan kepada banyak dalil daripada hadis Nabi Muhammad SAW, misalnya hadis daripada Fatimah binti Qais, bahwa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada kewajiban dalam harta kecuali zakat,” dan hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah, nombor 1779.
Pada zaman dahulu, cukai di dalam Negara Islam hanyalah dikenakan kepada non-muslim sahaja dan kadarnya tidaklah melebihi 10 peratus. Di antara cukai yang diperkenalkan kepada non-Muslim di dalam Negara Islam ialah jizyah atau cukai individu, kharaj atau cukai tanah dan usyur atau cukai perdagangan.

Dalam Islam, pemerintah hanya diizinkan mengutip dharibah, yang hanya dikenakan kepada orang-orang Islam yang kaya, pada saat Baitul Mal sudah kekeringan sedangkan pada saat itu negara amat memerlukan dana demi maslahah ummah dan negara (misalnya membeli kelengkapan perang).

Berbalik kepada persoalan di atas, oleh kerana pihak Negara sudah mengenakan cukai, maka sebagai warganegara kita masih perlu menunaikannya. Walau bagaimanapun, cukai itu sama sekali tidak boleh menghapuskan kewajipan zakat yang menjadi rukun kepada setiap muslim.

Apa yang perlu, tunaikan zakat terlebih dahulu dan selaraskan dengan cukai yang telah dikenakan. Umat Islam di Malaysia bertuah, kerana setiap sen yang dizakatkan boleh direbatkan ke atas cukai. Ini boleh mengurangkan tekanan kewangan ke atas umat Islam, kerana wajib membayar kedua-duanya dalam satu masa.

Kesimpulannya, cukai sama sekali tidak menghapuskan kewajipan berzakat seseorang, apabila telah cukup segala syarat wajib zakat ke atas mereka. 

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment